Surat terbuka untuk kesemua bakal peserta Unduk Ngadau 2017: Percayalah bahawa Keyakinan Diri dan Aura mengatasi segala Kualiti asas

Artikel ditulis oleh @Lan
80987549-mrsj7yxm-adiputerapbase-com33
Kredit: Adiputera

Back to the basics: ‘Embrace your culture, speak your mother tongue”-Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA)

Untuk memahami lebih dekat tentang asal-usul Unduk Ngadau, baca artikel ini (PAUTAN). For better understanding about Unduk Ngadau in general, read this article (LINK)

Kurang dari 2 bulan kita akan mempunyai Ratu Unduk Ngadau yang baru. Unduk Ngadau yang bakal menggantikan Sherry Anne Laujang. Saat inilah, pasti ramai yang akan atau sudah mendaftarkan diri untuk menyertai Unduk Ngadau Peringkat Daerah masing-masing. Pemenang peringkat daerah akan bertanding pada 31 Mei 2017 nanti untuk menentukan Unduk Ngadau yang mutlak bagi tahun 2017. Sebagai pemerhati, saya sudah melakukan beberapa analisis dan beberapa tulisan dalam blog ini akan mengutarakan pandangan peribadi saya. Satu hal yang jelas adalah TIDAK SEMUA peserta Unduk Ngadau akan mempunyai tahap Keyakinan Diri dan Aura yang tinggi.

Prelude

Sebagai bakal peserta Unduk Ngadau 2017, anda semua pastinya sudah bersedia dari pelbagai sudut misalnya kostum, berlatih bahasa ibunda masing-masing (bagi mereka yang belum fasih!), berlatih berjalan dan sebagainya. Ini semua rutin. Satu kemestian dan dikira sebagai mandatori. Pembacaan meluas juga sering dipraktikkan untuk meningkatkan pengetahuan semasa anda kerana anda pastinya tidak mahu tergagap-gagap menjawab soalan-soalan yang dikemukakan kepada anda.

Tidak kurang juga ada yang mula memberikan perhatian khusus kepada penjagaan diri, pemakanan dan sebagainya. Ini lumrah peserta mana-mana pertandingan yang akhirnya memerlukan juri memilih Pemenang Mutlak. Tahukah anda bahawa ada dua perkara yang sering diabaikan dalam persediaan para peserta Unduk Ngadau dan ini sangat jelas kelihatan semasa mereka berada di pentas.

Dua perkara itu adalah Keyakinan Diri dan Aura. 2 perkara ini lazimnya sukar untuk dibentuk pada saat-saat akhir kerana kedua-duanya datang secara semulajadi hasil daripada pembentukan sahsiah diri semasa membesar. Cara berjalan dengan tertib boleh dilakonkan tetapi Keyakinan Diri dan Aura itu tidak boleh dilakonkan. Ia adalah sifat-sfat yang sudah tertanam dalam diri masing-masing.

Jika anda melihat dengan teliti, saban tahun, kesemua pemenang Unduk Ngadau peringkat Negeri mempunyai keyakinan diri dan aura yang sangat tinggi. Contoh terbaik adalah Daphne Iking. Lihatlah bagaimana cara beliau berkomunikasi tidak kiralah sebelum, semasa atau selepas pertandingan. Lihatlah bagaimana cara beliau mengacarakan majlis.

Daphne Iking tidak melakonkan keyakinan dirinya. Ia datang dari dalam jiwanya. Keyakinan diri itu sudah jelas terpahat dalam mindanya kerana beliau dibesarkan dalam situasi yang membolehkan beliau mempunyai jiwa dan semangat yang kental. Aura itu tidak diwarisi. Ia sukar untuk dipelajari. Ia datang dengan sendirinya. Daphne Iking itu mempunyai auranya tersendiri.

Beliau hanya perlu berdiri dan mula memberikan sepatah dua kata. Mereka yang berada di sekelilingnya akan mula diam dan menunggu untuk ‘kata-katanya’. Beliau hanya perlu berjalan masuk dan mata akan mula terbuka besar, menanti setiap gerakan dan ucapannya. Interaksi beliau dengan penonton adalah sangat natural. Ia tidak dilakonkan. Wajahnya itu berseri-seri pada pandangan mata yang memerhatikan beliau, memberikan mereka semacam satu energi, itulah Aura.

Keyakinan Diri

Unduk Ngadau adalah satu pertandingan yang berlainan sifatnya dengan pertandingan Ratu Cantik yang lain. Ia bukan satu pertandingan Ratu Cantik yang mutlak. Ia bukan sahaja mengenai kecantikan dan bukan sahaja secara mutlak mengenai simbol Huminodun.

Ia tentunya tidaklah mutlak mengenai apresiasi terhadap kebudayaan dan keupayaan berkomunikasi dalam bahasa ibunda, tidak kiralah dalam bahasa Kadazan, Dusun, Rungus dan sebagainya.

Unduk Ngadau merangkumi kesemua aspek yang disebutkan di atas. Ia tidak hanya mengenai satu-satu perkara secara spesifik. 

Setiap tahun, berbarislah para peserta menonjolkan kehebatan masing-masing di atas pentas. Para penyokong pula kebanyakannya sentiasa melihat kepada paras rupa dan kecantikan wajah. Mereka terlupa bahawa Unduk Ngadau bukan sahaja mengenai kecantikan.

Bayangkan situasi semasa anda menghadiri sesi temuduga untuk mendapatkan kerja. Selain dari kelayakan, pengalaman dan pengetahuan, aspek terpenting yang sentiasa diberikan perhatian adalah bagaimana setiap individu itu mampu untuk meyakinkan mereka yang menjalankan temuduga itu. Keyakinan diri itu ditunjukkan dalam dua aspek iaitu Postur badan/Pergerakan dan Percakapan.

Sehebat manapun kelayakan dan pengalaman anda tetapi jika anda tidak mampu untuk meperlihatkan keyakinan diri anda di hadapan mereka yang mahu melihat anda, maka anda dilihat sebagai ‘orang yang kerdil’. Anda pasti gagal mendapatkan perhatian orang lain.

Keyakinan diri itu meliputi cara anda berkomunikasi, cara berjalan, cara anda mengekspresi diri anda dan malahan bagaimana anda memberikan posisi yang betul kepada bahu anda semasa berdiri. Berjalan cukup 3-4 langkah, orang yang memerhati anda sudah tahu sama ada anda mempunyai keyakinan diri atau tidak.

Dalam pertandingan Unduk Ngadau, komunikasi adalah sangat penting apatah lagi baru-baru ini Joanna Kitingan (The Borneo Post, 4 Mac 2017) menjelaskan bahawa Unduk Ngadau 2017 akan memberikan perhatian khusus kepada keupayaan peserta berbahasa ibunda serta mampu mengapresiasi kebudayaan mereka sendiri.

Ingatkah lagi pada kontroversi yang dicetuskan netizens sewaktu pemilihan Unduk Ngadau 2016 (Berita Sabah Online, 1 Jun 2016)? Ambillah masa untuk meneliti video yang tersedia di YouTube atau mana-mana saluran media sosial. Lihatlah bagaimana berbezanya keyakinan diri yang ditonjolkan oleh Sherry Anne Laujang berbanding para peserta lain.

Jawapan yang diberikan terhadap soalan yang dikemukakan kepadanya mungkin tidak begitu jelas (mengikut sesetengah pengkritik). Walaubagaimanapun, lihatlah bagaimana beliau ‘melontarkan’ jawapan kepada soalan yang diberikan. Lihatlah bagaimana beliau berdiri, menentukan postur badan dan bercakap. Itulah keyakinan diri dan aura.

Terdapatkah peserta Unduk Ngadau 2016 yang lebih cantik dari Sherry Anne Laujang? Ini adalah soalan bersifat peribadi dan subjektif kerana setiap orang mempunyai penilaian berbeza terhadap kecantikan seseorang. Secara peribadi, saya berani mengatakan, Ya ada peserta yang lebih cantik dari Sherry Anne Laujang.

Tetapi harus diingat ini bukan Pertandingan Ratu Cantik yang mutlak. Ini Unduk Ngadau yang mengambil kira banyak aspek khususnya pada kebudayaan itu sendiri. Pada pengamatan saya, setiap peserta adalah pemenang bagi kebudayaan yang mereka yang tonjolkan. Percayalah bahawa tidak ada satu kebudayaan yang lebih tinggi nilainya dari kebudayaan yang lain.

Justeru jika setiap peserta Unduk Ngadau 2016 itu berjaya memperlihatkan ciri-ciri kebudayaan masing-masing (walaupun pada hakikatnya masih ada yang tergagap-gagap menuturkan bahasa ibunda sendiri), apakah ukuran yang jelas dalam memilih pemenang yang mutlak?

Aras pengetahuan para peserta menentukan keintelektualan mereka dan akhirnya membentuk cara mereka bertutur, memberikan jawapan yang diperlukan untuk soalan-soalan juri. Terdapat banyak contoh yang menunjukkan bagaimana sebahagian besar para peserta gagal memperlihatkan keterampilan diri semasa berkomunikasi.

Artikel ini tidak bertujuan untuk mengaibkan mana-mana peserta justeru saya tidak akan menyebut nama-nama peserta yang kurang menonjol dalam berkomunikasi. Bukan itu sahaja, langkah pertama mereka semasa naik ke pentas sudah menunjukkan sama ada mereka ini mempunyai tahap keyakinan diri yang tinggi atau tidak. Jelasnya, ada peserta yang masih tidak tahu apa yang mereka lakukan di atas pentas.

Contoh-contoh bagi segala kekurangan itu ada dalam saluran YouTube dan juga Facebook. Carilah dan nilailah sendiri. Inti kepada artikel ini adalah bagaimana pentingnya untuk mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Saya boleh mengajukan satu soalan mudah kepada anda (sekiranya anda bakal menyertai Unduk Ngadau 2017). Soalannya berbunyi begini:

“Kenapa anda mahu menjadi Unduk Ngadau sedangkan terdapat banyak lagi pertandingan ratu yang lain?”

ATAU

“Apakah signifikannya Unduk Ngadau itu dalam zaman ini?”

Tanyalah soalan ini kepada diri anda sendiri, lihat cermin besar di rumah anda atau minta rakan-rakan anda melihat anda memberikan jawapan. Perkara pertama adalah, adakah anda dapat memberikan jawapan jelas kepada soalan-soalan itu? Hal terpenting adalah adakah anda dapat meyakinkan orang yang mendengar jawapan anda. Bagaimanakah anda menyusun kosa kata dan menyampaikannya secara teratur tetapi ringkas dan padat? Ya, anda tidak diberikan 15 minit untuk menjawab soalan tersebut.

Lihatlah di cermin bagaimana bahu dan tangan anda bergerak semasa menjawab soalan tersebut. Adakah anda suka dengan apa yang anda lihat di cermin? Jika anda tidak suka, orang lain pasti tidak suka. Pernahkah anda melihat peserta Unduk Ngadau yang memberikan jawapan salah tetapi tetap mendapat tepukan gemuruh para penonton/penyokong?

Itu adalah lumrah bagi mereka yang berada di tempat duduk untuk penonton. Mereka ingin memeriahkan majlis. Itulah cara kita, cara Sabahan memberikan sokongan tidak berbelah bagi walaupun pada hakikatnya dalam hati mereka mereka tahu bahawa jawapan yang diberikan tidak begitu tepat. Jawapan cliche juga sering membuat orang berasa bosan, WALAUPUN mereka bertepuk tangan.

Sudahlah jawapan yang diberikan agak Cliche, ia disampaikan dalam bahasa yang terlalu ‘pekat’ kenegeriannya. Bukanlah saya meminta anda untuk tidak berbangga dengan loghat tempatan tetapi jika anda menjawab dalam Bahasa Malaysia, gunakanlah bahasa dan pengucapan yang betul. Bukan itu sahaja, postur badan semasa menjawab juga agak pelik, berpusing ke kiri dan kanan seolah-olah sedang panik.

Jawapan yang Cliche disusuli dengan patah-patah ayat yang seolah-olah dihafal dan tidak disampaikan secara natural. Apabila anda menjawab soalan dengan anak mata naik ke atas, ia seperti anda melihat ke siling, ‘menunggu jawapan jatuh dari langit’.  Lihatlah bagaimana kesemua pemenang Unduk Ngadau peringkat negeri pada tahun-tahun sebelumnya berupaya untuk memberikan jawapan secara spontan, gramatis, tidak cliche dan yang paling penting mereka yakin dengan jawapan mereka (walaupun mereka sendiri tahu mereka melakukan kesilapan).

Kesilapan fakta semasa bertutur boleh disembunyikan dengan senyum ikhlas, pergerakan lembut dan bersahaja, lontaran idea yang tidak tersekat-sekat. Pertuturan dalam bahasa ibunda pula memperlihatkan bagaimana majoriti peserta seolah-olah menghafal pada saat-saat akhir tentang perincian baju tradisi mereka. Jawapan mereka kebanyakannya tersekat-sekat.

Dengan anak mata yang bergerak-gerak, itu sudah cukup menunjukkan bahawa mereka menghafal. Tidak ada salahnya menghafal tetapi kenapa ia disampaikan seolah-olah latihan baru sahaja ia dibuat? Tidak 3-4 bulan yang lepas? Latihan itu penting dalam membentuk keyakinan diri semasa berucap atau berkomunikasi. Anda ada masa setahun untuk berlatih.

Tanpa latihan, keyakinan diri itu tidak dapat ditonjolkan pada saat-saat akhir. Saya ingin mengambil contoh yang jauh dari Unduk Ngadau. Marilah kita melihat pula pertandingan Miss Universe 1991. Waktu itu, Lupita Jones dari Mexico adalah pemenangnya. Kaji video YouTube berkaitan. Lihat bagaimana beliau menjawab soalan akhir. Lihat juga bagaimana cara dia berjalan (bukannya saya mahu mengatakan anda tidak tahu berjalan) tetapi pergerakaannya itu penuh dengan keyakinan diri.

Keyakinan diri itu sebenarnya datang dari dalam jiwa dan minda. Jiwa dan minda itu dipupuk sejak di bangku sekolah lagi. Persekitaran dan pengaruh yang pelbagai akan berperanan penting dalam menentukan cara anda menunjukkan keyakinan diri anda. Unduk Ngadau bukan untuk seorang yang pemalu. Gelaran Unduk Ngadau bukan untuk orang yang melakonkan watak atau diri orang lain. Unduk Ngadau yang terpilih itu punya caranya yang tersendiri dalam menunjukkan keyakinan dirinya.

Soalannya, setakat manakah tahap keyakinan diri anda?

Aura

Maaf. Aura itu tidak boleh dipelajari. Ia juga tidak boleh dilakonkan. Aura tidak diwarisi. Hanya kerana seorang ahli keluarga anda adalah seorang yang mempunyai aura yang tinggi sebagai ahli politik, artis atau apa sahaja, ia tidak bermakna anda juga mempunyai aura. Walaubagaimanapun, mempunyai keterbukaan minda dan sering bercampur gaul pasti akan menyerlahkan aura anda, itupun jika anda bernasib baik. Tampilkanlah 42 peserta Unduk Ngadau di atas pentas. Tidak kesemua 42 itu akan mempunyai aura.

Mari kita lihat semula senarai nama Unduk Ngadau peringkat negeri 2016. Sejak awal penyenaraian kesemua nama peserta tersebut, para penyokong sudah mula membuat percaturan masing-masing tentang siapakah yang bakal menjadi pemenang. Berdasarkan apakah mereka membuat percaturan mereka? Tidak lain tidak bukan, foto-foto para peserta. Ada yang berkata: “ini tidak cantik, itu tidak lawa, tapi yang ini tetap masuk final”.

Ingat bahawa kecantikan seseorang itu adalah subjektif. Ada yang berkata bahawa pilihan majoriti penyokong itu sebenarnya tidak cantik. Tetapi kenapakah ramai yang membuat ramalan tentang pemenangnya dan berdasarkan apa? Sekali lagi foto. Foto peserta kegemaran/favourite itu memberikan mereka satu kepuasan.

Saya berani berkata bahawa 99% mereka yang membuat ramalan itu sebenarnya tidak kenalpun siapa yang mereka ramalkan sebagai pemenang. Bertemu pun belum pernah apatah lagi berbual. Apa yang membuat mereka tertarik sangat dengan pilihan mereka itu? Semangat kedaerahan? Tidak juga. Ada penyokong yang datang dari daerah yang berbeza.

Mereka melihat ada sesuatu yang menarik tentang foto itu. Cantik bagi mereka, mungkin, tapi tidak cantik pada orang lain. Apakah ciri khusus selain kecantikan? Jawapannya Aura. Seri wajah seseorang peserta itu telah menambat hati majoriti pengikut setia Unduk Ngadau, dan suara majoriti inilah yang seolah-olah menjadi ‘pengadil’ untuk pemilihan Unduk Ngadau, mengenepikan barisan juri.

Saya bertanya kepada anda, anda ingat senarai nama juri yang memilih Sherry Anne Laujang? Tidak? Saya juga tidak ingat melainkan jika saya melakukan carian di Google. Tetapi kita semua ingat wujud dua kem penyokong, satu berpihak kepada Sherry Anne Laujang dan satu lagi berpihak kepada Claryssa Henry. Begitulah kuatnya pengaruh dua peserta Unduk Ngadau ini.

Apakah definisi Aura secara mengikut ahli-ahli akademik?

Aura adalah energi yang berada di bagian luar tubuh dan membentuk suatu dinding yang berfungsi untuk melindungi tubuh dari energy negatif (Irmansyah Effendi, 2005)

Pengertian aura secara umum adalah sebuah warna energi yang menyelubungi seluruh tubuh manusia. Kalau diibaratkan, aura itu seperti lapisan atmosfernya tubuh manusia, yang juga berlapis-lapis (Sitiatava Rizema Putra, 2011)

Aura itu melahirkan simpati yang dirumuskan sebagai perasaan tertariknya seseorang terhadap orang lain, simpati timbul tidak atas dasar logis rasional, tetapi berdasarkan perasaan sebagaimana proses identifikasi. Orang tiba-tiba merasa dirinya tertarik kepada orang lain seakan-akan dengan sendirinya, melainkan itu dikarenakan adanya interaksi yang sedang dirasakan. Simpati itu proses yang sadar bagi diri manusia, peranan simpati cukup nyata dalam hubungan satu orang dengan dua atau lebih, termasuk hubungan cinta kasih antara manusia (Abdul Basith Muhammad as-Sayyid, 2008).

Sherry Anne Laujang dan Claryssa Henry masing-masing punya kekuatan dan aura tersendiri. Mereka hanya perlu berdiri di atas pentas dan orang ramai akan bersorak serta bertepuk tangan. Mereka tertarik dengan personaliti yang ditunjukkan di raut wajah kedua ratu ini. Personaliti yang punya aura tersendiri, seolah wujud satu tenaga atau energi yang membuat ramai terpesona. Aura mereka itu datang dengan sendirinya, terhasil daripada keyakinan diri mereka yang tinggi.

Aura itu tidak mereka lakonkan. Tidak juga dipelajari secara formal. Tidak ada dalam mana-mana buku teks sekolah tentang cara-cara untuk mempunyai aura. Ia pemberian secara semulajadi atau juga terbentuk dari cara mereka membesar menjadi seorang dewasa. Aura terbentuk dengan sendirinya. Tidak ada kelas formal untuk mempelajarinya.

Kehadiran mereka memberikan energi berbeza tetapi kuat kepada mereka yang mengikuti perkembangan Unduk Ngadau 2016. Netizen sanggup mencaci maki di pelbagai halaman sosial media untuk mempertahankan kedua-dua gadis ini. Netizen juga sanggup menghabiskan masa berjam-jam membaca setiap perincian kedua-dua gadis ini dari awal hingga selesai pertandingan.

Soalannya, adakah anda mempunyai aura pada diri anda?

Hal-Hal Lain

Berikut adalah beberapa perkara asas untuk anda menilai diri anda sendiri sebelum menyertai pertandingan Unduk Ngadau tahun ini. Perincian perkara asas ini adalah pendapat peribadi saya sendiri setelah melakukan analisis terhadap pertandingan Unduk Ngadau untuk 5 tahun kebelakangan ini.

  1. Adakah anda sudah fasih berbahasa ibunda? Misal kata anda dari suku kaum Rungus. Adakah anda memang fasih berbahasa Rungus? Jika tidak, sudahkah anda mula berlatih?
  2. Adakah anda tahu semua perincian kebudayaan anda sendiri, tentang adat-istiadat, kepercayaan, sejarah dan sebagainya?
  3. Adakah pemilihan kostum anda sesuai mengikut perincian asal suku kaum anda yakni mengikut daerah yang anda wakili? Adakah perincian hiasan itu mengikut spesifikasi asli dan mementingkan terlebih dahulu pandangan generasi terdahulu dalam erti kata mengekalkan ciri dan maksud yang asli? Pemilihan kostum dan corak yang keterlaluan akan ‘menenggelamkan’ anda. Kadangkala, kesederhanaan tetapi asli itu lebih menarik perhatian ramai.
  4. Adakah anda seorang yang tahu apa yang anda lakukan dalam pertandingan Unduk Ngadau? Maksudnya, anda tahu apakah signifikannya Unduk Ngadau itu di zaman dahulu dan juga dalam konteks zaman sekarang. Anda harus tahu pengertian Unduk Ngadau, sejarahnya dan kepentingannya kepada masyakat dahulu dan sekarang. Pastikan anda tidak kelihatan seperti seorang yang clueless dalam pertandingan yang bakal anda sertai. Anda harus tahu maksud semangat Huminodun.
  5. Sudahkah anda mengambil inisiatif sendiri untuk melakukan kajian sendiri dan belajar dari kesilapan para peserta dalam Unduk Ngadau pada tahun-tahun sebelumnya? Sudahkah anda mengambil tahu bentuk-bentuk soalan yang dikemukakan kepada peserta Unduk Ngadau pada tahun-tahu sebelumnya?
  6. Satu hal yang sering kononnya tidak diambil kira adalah perincian fizikal. Ya, ini bukan pertandingan siapa cantik dan tinggi akan tetapi kedua-dua ini juga ada kesannya terhadap mata yang memerhatikan anda. Bukannya saya merendahkan kualiti anda tetapi sebelum menyertai Unduk Ngadau tanyalah kepada diri anda sendiri soalan-soalan ini. Adakah anda mempunyai nilai estetik/kecantikan? Nilai kecantikan adalah subjektif tetapi secara standardnya anda dilihat manis oleh majoriti pengikut Unduk Ngadau, sama ada dengan atau tanpa bantuan alat solek. Adakah anda mempunyai ciri fizikal yang sesuai? Tepuk dada tanya selera.
  7. Adakah anda seorang yang berpengetahuan luas dalam erti kata anda giat memperluaskan pengalaman serta pengetahuan melalui pembacaan atau melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti berkaitan? Ingat bahawa anda akan ditanya soalan-soalan yang mungkin anda tidak tahu jawapannya. Kajilah video-vdieo yang tersedia di YouTube dan lihat corak soalan yang dikemukakan semasa pertandingan. Bersedia dari awal adalah sesutu yang bijak.
  8. Apakah kelebihan anda berbanding para peserta lain? Apakah yang dapat anda tunjukkan kepada audiens berhubung kelainan misalnya dari sudut akademik, pengalaman, pekerjaan yang mencabar atau juga keupayaan bertutur beberapa bahasa antarabangsa. Ini semua tidaklah dinilai tetapi ia penting dalam ‘mendepankan’ diri anda berbanding peserta lain.
  9. Sudahkah anda menjawab soalan-soalan ini untuk diri anda sendiri, Ingat Hanya Jauhari mengenal Manikam. Kenapa anda menyertai Unduk Ngadau? Jika anda gagal menjawab soalan ini kepada diri anda sendiri, baiklah mengundurkan diri. Mampukah anda untuk mempunyai kekuatan mental dan sering percaya kepada diri sendiri dan tahu setiap sudut kelebihan anda berbanding peserta lain?
  10. Adakah anda sudah tahu apa yang berlaku kepada diri anda jika anda dipilih sebagai Unduk Ngadau 2017? Bersediakah anda untuk menjalankan peranan anda sebagai Unduk Ngadau? Apakah peranan anda dalam mempromosi fungsi serta membantu Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA)? Bersediakah anda untuk mengorbankan beberapa hal dalam hidup anda misalnya aktiviti peribadi kerana harus mengikuti program-program yang sudah ditentukan oleh KDCA?
  11. Adakah pemikiran anda cukup matang untuk menjawab semua soalan secara tersurat dan tersirat, sebelum, semasa dan setelah pertandingan? Adakah anda percaya kepada diri anda sendiri?
  12. Adakah anda membawa jiwa, pemikiran, kesungguhan dan ketabahan Huminodun dalam diri anda?

Anda menjawab ya kepada semua soalan-soalan di atas? Bagaimana pula dengan dua hal ini?

Adakah anda punya Keyakinan Diri yang tinggi dan Aura pada seri wajah anda yang mampu meninggalkan kesan atau energi kepada orang yang memerhatikan anda?

Jika jawapan anda ya kepada semua soalan di atas, percayalah anda sudah bersedia untuk menjadi Unduk Ngadau. Namun, jika anda tidak mempunyai kesemua kualiti di atas dan anda terpilih sebagai Unduk Ngadau 2017, itu menunjukkan yang saya silap besar, yang saya telah membuang masa saya untuk menulis artikel ini dan akhir sekali anda memang bernasib baik!

Kesimpulan

Keyakinan diri dan Aura adalah dua faktor yang sangat penting untuk bakal peserta Unduk Ngadau. Keyakinan diri dan Aura tidak wujud dalam borang pemarkahan untuk barisan juri profesional. Mereka tidak memberikan markah untuk kedua-dua aspek ini secara khususnya. Walaubagaimanapun, keyakinan diri dan aura itulah yang akhirnya akan membuka mata barisan juri dalam memilih bakal pemenang baik di peringkat daerah mahupun negeri.

Sebaik mana pun kostum anda yang menyelitkan segala perincian khusus tentang hiasan dan aksesori dan sebaik mana pun kefasihan anda dalam bertutur bahasa ibunda anda, ia bukan syarat mutlak untuk menentukan pemenang. Pemenangnya lazimnya seorang yang mempunyai kualiti itu tetapi sebagai bonus mereka berjaya membawa diri mereka dengan penuh yakin, berjalan dengan penuh keyakinan, berdiri dengan ketepatan postur yang meyakinkan serta betutur yakni berkomunikasi secara ‘straight forward’ dan tidak tersekat-sekat.

Sekali imbas, wajah bakal pemenang ini sudah tertonjol akan auranya, seri wajahnya yang manis dengan senyuman yang ikhlas. Auranya itu diselitkan dengan kebijakan serta petah berkata-kata, tidak menghafal dan tahu setiap perincian kebudayaannya. Kesemua ini dapat ditonjolkan oleh bakal pemenenag kerana dia adalah seorang yang berkeyakinan tinggi.

Bakal pemenang Unduk Ngadau 2017 bukan sahaja mewakili semangat Huminodun, tetapi juga mampu mewakili masyarakatnya serta kebudayaannya dengan begitu baik sekali. Dia dapat menunjukkan kepada juri bahawa dia mampu mempunyai segala kualiti itu dan ia ‘disampaikan’ dengan begitu yakin diiikuti seri wajahnya yang memberikan impak energi kepada semua orang. Keyakinan diri dan aura itulah yang juga akhirnya menentukan siapa yang lebih menonjol di antara kesemua peserta Unduk Ngadau.

Kredit

Imej utama (Image Header) artikel ini adalah kepunyaan Adiputera, seorang jurugambar profesional. Ikuti hasil kerja beliau di www.pbase.com/adiputera/profile

Rujukan/Bahan Bacaan

Abdul Basith Muhammad as-Sayyid (2008). The Spiritual Power “Membangkitkan Kekuatan Paling Dahsyat Dalam Diri”, Terj. Muhtadi Kadi. Jakarta: Nakhlah Pustaka

Berita Sabah Online (1 Jun 2016). Netizen lahir tidak puas hati keputusan Unduk Ngadau 2016. Dirujuk dari www.beritasabah.online pada 4 April 2017.

curiostraveller, Lan (22 April 2016). Unduk Ngadau Pesta Kaamatan: The Legend. Dirujuk dari curiostraveller.com pada 2 April  2017.

Daily Express (22 Mei 2016). Focus on future and not names: Donald Peter Mojuntin. Dirujuk dari www.dailyexpress.com.my pada 3 April 2017.

Hiburan Sabah (2 Februari 2017). Bakal Unduk Ngadau 2017, Siapa?. Dirujuk dari www.hiburansabah.com pada 4 April 2017.

Irmansyah Effendi (2005). REI KI TUMMO: Teknik Efektif untuk Meningkatkan Kesadaran dan Energi Spiritual. Jakarta: PT. Gramedia Pustaka Utama, cet. Ke-5.

Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA). December 7, 2004. Who Is Huminodun?  Dirujuk dari kdca.org.my/archives/138 pada April 4  2017

Palikat, Nicholas (1988). The Legend of Hay and Rice. In Ignatia Olim Marsh (ed.). Tales and Traditions from Sabah: 67-68. Kota Kinabalu: The Sabah Society

Sabah Museum (1993). Rice Power and Its Magic: A Brief Introduction to the Culture of Rice in Sabah. Kota Kinabalu: Department of Sabah Museum.

Sitiatava Rizema Putra (2011). Rahasia Energi Aura Manusia. Jogjakarta: FlashBooks.

The Borneo Post (4 Mac 2017). Harvest Queen Pageant Going Back to Basics. Dirujuk dari www.theborneopost.com pada 5 April 2017.

Advertisements

9 thoughts on “Surat terbuka untuk kesemua bakal peserta Unduk Ngadau 2017: Percayalah bahawa Keyakinan Diri dan Aura mengatasi segala Kualiti asas

    1. Hi Jovinie
      Ya ada ramai yg boleh dijadikan contoh dalam keupayaan mereka dlm PR atau pengucapan awam. J Sue H Rampas pun boleh, kami setuju. Daphne adalah hanya satu daripada ramai contoh lain. Thanks for taking time to comment, kami sangat menghargai pandangan anda. Thanks kio and Kotobian Tadau Tagazo do Kaamatan, cheers

      Like

    1. Hi buhazonj
      Thank you for taking time to comment, we appreciate that and we do respect all individual opinions. When we mentioned Daphne as an example, we do not refer her as to what she is now, that is something entirely about her rights as individual. We mentioned her as an example based on her capabilities in PR field, that is all. Never have we intend to ask KDM community to follow or adore one lifestyle or belief(s). We only appreciate her strength in her own confidence while she’s doing PR. Thats all. But we do respect your opinion as much as we do respect Daphne choice/path. Each of us, including me ada kekurangan dan kelebihan, it is up to us as human being to see the positive side and leave the negative one behind. Bak kata pepatah, “yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan”.

      Lan

      Like

      1. A note to all future UNs and Fans of UNs

        The best way to handle things is to be objective in what you are seeing and doing. Adalah menjadi satu sifat terpuji untik membiarkan sahaja hal2 yg negatif dan teruskan dengan impian anda. Menilai individu dari sudut kepercayaan agama, kesilapan peribadi lepas dan seumpamanya tidak akan memberikan kelebihan kepada diri anda malahan orang yang dikutuk itulah yang akan menjadi lebih kuat. Percaya kepada diri sendiri dan serap semua kebaikan serta contoh positif dari UN lepas, anda akan disegani. Keyakinan diri dan aura itu datang dari semangat positif yang tertanam dalam jiwa anda. Semangat puak, benci membenci tidak akan bawa anda ke mana mana.

        Best of luck for the coming competition on 31st May 2017 and the years to come.

        Lan and Joe
        curiostraveller.com

        Like

  1. odoi gia.. daphne iking yg jadi malazu nopo ko kasi kagum? yg buruk perangai tu.. dooii gia… aura toot toot tasuh la daphne iking yg bikin kasi toot toot toot toot toot undukngadau! banyak betul kontrovensi.. mongoi matai toot toot toot toot toot toot toot toot

    Like

    1. Pesanan Editor: Komen dari Rombituon Tagayo ini telah kami edit sedikit kerana wujud hal hal yang sensitif dalam pernyataannya.

      Rombituon Tagayo

      Kita ini semua manusia, sama saja dan tidak kira bangsa, agama, kekayaan, asal usul kita sama sahaja. Setiap orang ada kebaikan dan keburukannya. Kami akan mempertahankan Daphne Iking kerana itu haknya sebagai manusia untuk memilih jalan hidup selepas menjadi UN. Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan, tidak ada manusia sempurna di dunia ini. Justeru, kami berharap anda dapat menggunakan akal rasional dan tidak begitu emosi dalam mengutarakan hujah-hujah anda. Kami hanya memuji keprofesionalan Daphne Iking dalam hal hal yang melibatkan pengucapan awam. Tidak pula kami mengagungkan hidup peribadinya. Kami hanya merujuk kepada keupayaannya dalam pengucapan awam dan tidak lebih dari itu.

      Like

    2. Atas Pagar

      ini komen bigot ni yang tidak buli terima kekurangan manusia sebab dia sempurna dari segala-gala… ika noh bogia mongoi matai,perangai mcm kau lah yg selalu memburukkan mood kaamatan kerana ada perasaan hasad dengki,Daphne Iking dia kahwi melayu pun dia x lupa asal usul dia,cakap pun masih Sabahan. kau pa tau oh,nampak buruk org saja. ketara lah kaum kerabat kalah UN masa daphne manang kan.

      Liked by 1 person

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s